Tuesday, March 17, 2009

Betulkan yang biasa, biasakan yang betul

Ayat ini saya ambil daripada pak cik saya. Dalam keluarga sebelah ibu, dialah yang paling saya kagumi, berjawatan utama di sektor awam, dialah satu-satunya adik ibu saya yang melanjutkan pelajaran sehingga ke peringkat yang lebih tinggi atau lebih tepat, luar negara. Malah melaluinya, banyak yang saya pelajari. Dialah sumber rujukan saya dan keluarga, setiap kali berhubung soal akademik. Semasa mendapat tawaran MRSM, dialah yang ibu hubungi. Begitu juga semasa mendapat tawaran ke Unimas. Yang paling terkini ialah semasa mendapat tawaran pekerjaan sekarang. Hati saya berbelah bahagi, dialah yang banyak menasihati.

Baru-baru ini dia menghantar pesanan ringkas (sms) kepada saya, bertanya khabar saya, serta alamat emel saya. Rupa-rupanya dia mahu menjemput atau invite saya untuk turut serta dalam Geni Tree. Dia ingin mengumpulkan seluruh ahli keluarga kami. Mahu buat reunion agaknya. Di akhir mesejnya, dia bertanya khabar tentang pekerjaan saya dan dia menasihati saya, dalam bekerja, perlu "Betulkan yang biasa, biasakan yang betul". Agak mendalam, tapi saya faham maksudnya, menusuk ke kalbu. Saya tahu dia ikhlas menuturkannya. Namun, berapa ramai yang masih mengamalkannya?

No comments:

Post a Comment