Friday, February 27, 2009

Bunga

Perempuan terlalu sinonim dengan bunga, tetapi tidak saya. Saya tak tahu sama ada saya sukakan bunga atau tidak. Saya tiada bunga kesukaan. Saya juga tidak pandai menggubah bunga. Nampaknya saya tidak mewarisi kesenian ibu saya yang pandai menggubah dan menghias, hehehe. . Bunga mungkin simbolik, tanda kasih dan sayang daripada seseorang yang menyayangi kita. Tidak semestinya dihadiahi oleh teman lelaki semata-mata, mungkin boleh jadi daripada seorang kawan atau pun keluarga, atau daripada seorang murid kepada guru.

Sepanjang hidup saya, saya tidak pernah dihadiahkan bunga oleh sesiapa. Semasa zaman bercinta, tidak pula bekas teman lelaki menghadiahi saya bunga, mungkin tidak berkesempatan. Mungkin zaman belajar membataskan kewangan. Tetapi saya tidak pernah terkilan. Saya cuma pernah mendapat bunga hanya sekali, itu pun saya beli sendiri, untuk dihadiahkan kepada diri sendiri sempena kejayaan tamat pengajian.

Mungkin benar saya tidak begitu menggemari bunga. Seingat saya, setelah tamat majlis konvokesyen, bunga ros tersebut saya sangkutkan di pintu dinding, konon-konon untuk dikeringkan. Akhirnya, kerana menyesakkan pandangan mata, bunga itu dibuang sahaja. Bila difikirkan semula, terasa amat rugi membeli bunga sebegitu mahal, akhirnya dibuang juga. Bagi saya, bunga tidak penting, kerana akhirnya setelah dapat bunga, saya akan membiarkan sahaja. Tidak seperti individu lain, yang akan mengeringkan, kemudian dijadikan hiasan atau simpanan. Mungkin juga faktor malas menjadi penyebab kenapa saya tidak begitu prihatin tentang perkara-perkara sebegini.

Saya masih ingat pertanyaan seorang teman, bertanya sama ada saya sukakan bunga atau tidak. Saya menjawab dengan nada melawak, bahawa saya lebih sukakan duit berbanding bunga, hehehe. Daripada duit itu digunakan untuk membelikan saya bunga, lebih baik bagi sahaja duit tersebut kepada saya, hehehehe...

No comments:

Post a Comment