Di dalam kehidupan ini, kita suka diberi. Disuap adalah kebiasaan manusia. Tidak ramai manusia menggerakkan diri mereka untuk menyuap dan memberi. Sebab itu, lebih ramai manusia tidak mahu berusaha, tetapi hanya menunggu rezeki datang bergolek kepada diri mereka.
Begitu juga dalam persahabatan. Kita biasanya suka menerima. Atau, kita suka apa yang kita beri itu, dibalas semula. Jika tiada timbal balik, maka kita tidak akan bersemangat meneruskannya. Ramai orang menghadapi situasi ini. Akhirnya mereka akan tertanya-tanya”
“Saya dah buat baik pada kawan saya, tetapi dia buat macam tak tahu je kehadiran saya”
“Saya ada sahabat, tetapi dia tak sayang saya”
“Saya dah hargai dia, tapi dia tak pernah pun hargai saya”
Sebenarnya, hidup ni tak seindah teori. Tidak juga macam drama-drama atau kisah indah di dalam novel. Walaupun sebenarnya, teori itu tidak mustahil direalitikan, dan kisah indah di dalam novel dan drama tak mustahil dibumikan.
Namun kita berhadapan dengan manusia. Manusia ada pelbagai ragam. Apa-apa sahaja boleh terjadi. Justeru, dari mengharap sesuatu yang tidak pasti, lebih baik mempersiapkan diri untuk berhadapan dengan pahitnya realiti.
No comments:
Post a Comment