10 Julai - saya menerima berita kematian ayahanda saya. Mula-mula terasa semacam satu gurauan. Antara mahu percaya dengan tidak. Baru dua hari lepas saya bercakap dengan we (panggilan kami sekeluarga terhadap ayah). Arwah sihat, segar-bugar semasa saya bercakap dengannya. Malah, pada pagi pemergian arwah, beliau sempat belikan nasi bungkus untuk ma dan adik di rumah untuk sarapan. Balik dari keluar membeli sarapan, menukar baju untuk kerja, arwah rebah dan sesak nafas...
Saya memandu sendirian untuk pulang ke kampung. Kalaulah arwah masih hidup, dia tak akan sesekali membenarkan saya memandu sendirian. Pernah sekali arwah memberitahu, kalau tak silap semasa raya haji tahun lepas, kalau saya nak balik kampung drive sendiri, lebih baik tak payah balik, duduk saja di Segamat sorang-sorang. Tapi hari tu, saya terpaksa melanggar arahannya.
Saya mungkin anak manja. Atau sememangnya anak manja. Menjadi anak ke-5 dari 6, saya merupakan anak perempuan bongsu dalam keluarga, dikelilingi abang-abang dan kakak-kakak yang telah berkahwin dan mempunyai anak. Maka, mungkin sebab itu, perhatian ma dan we diturunkan terlebih kepada saya dan adik.
Saya rindukan we. Mana mungkin saya lupakan dia. Semasa di sekolah rendah, we lah yang akan menjemput saya dari sekolah. Sehinggakan saya digelarkan princess oleh senior, kerana sudah Darjah 6 pun masih dijemput ayah. Cuma di sekolah menengah je kadang-kadang je we menjemput, itu pun kalau hari hujan. Semasa kecil, saya sering di bawa ke kedai kopi untuk minum petang dan makan roti canai. Saya masih ingat, hadiah ketika dapat nombor satu dalam kelas pun makan roti canai dan minum teh beng juga di kedai kopi. Sehingga besar kini pun, walaupun sudah tidak ke kedai kopi, tapi setiap kali we ke kedai kopi, saya akan dibelikan sebungkus air teh beng. Setiap hari. Malah kadang-kadang 3 kali sehari. Pagi, petang, malam. We memang suka ke kedai kopi dengan adik. Jika tiada apa-apa kerja, memang itulah rutin hariannya. Yang bagusnya, arwah tidak suka bergosip dan melepak lama di kedai kopi. Selesai minum teh secawan, beliau akan pulang.
Bila we tak de, saya memikirkan kehidupan kami seterusnya. Terasa teramat janggal. Siapa yang akan mengambil alih tugas membawa adik ke kedai kopi? Siapa yang akan menjaga keselamatan kami sekeluarga? Siapa yang akan memeriksa setiap sudut rumah agar semua terkunci? Siapa yang akan menangkap ular, lipan, katak jika binatang tersebut masuk ke rumah? Siapa yang akan membaiki mesin basuh yang uzur setiap kali 'spin'nya tak berfungsi? Siapa yang akan memastikan bekalan air masak di rumah cukup? Siapa yang akan memastikan kami tak membazir elektrik? Siapa yang akan menunggu untuk mengangkat beg saya setiap kali pulang ke kampung? Ya Allah, terlalu banyak kesan ketiadaannya.
Yang paling terkesan tentulah ma dan adik. Setiap hari, setiap malam adik saya akan bertanyakan arwah. Kenapa arwah tidak pulang-pulang. Bila kami nyatakan arwah sudah meninggal, adik kata TAK... We sihat... Adik kami down syndrome, mana mungkin dia memahami maksud sebenar kematian. Baginya, we akan balik. Setiap kali memikirkan adik, kami sekeluraga sedih, Dia yang paling rapat dengan arwah, tidur dengan arwah, ke kedai kopi dengan arwah. Siapalah yang mampu memujuknya selain arwah.
Ya Allah, berilah kami kekuatan menempuhi dugaan ini.
No comments:
Post a Comment