Tuesday, May 28, 2013

homesick

Homesick. Itulah yang aku rasa sekarang. Terasa mahu memohon pindah balik ke kampung halaman. Ia lebih mudah. Setiap hari boleh berulang-alik dari rumah. Tapi ia mungkin juga mustahil melainkan kampus di Kelantan ditambah cawangannya. Ish...semua yang ada di cawangan sedia ada adalah rakyat tegar Kelantan, atau yang berkahwin dengan orang Kelantan. Jadi, peluang aku hanyalah sekiranya kampus baru dibuka. Huhuhuhu. Tapi aku yakin dengan ketentuan-Nya.
 
Sejak remaja aku dah terbiasa tinggal jauh dari keluarga. Semenjak Tingkatan 4. Mungkin semasa sekolah, matrik dan universiti, rasa homesick tidak terasa sangat. Tapi bila bekerja, ia terserlah. Setiap masa rasa mahu balik ke kampung. Tenang dan tak perlu fikir pasal kerja.
 
Beruntung sesiapa yang dapat kerja dan dekat dengan keluarga. Setiap minggu boleh balik ke rumah. Aku perlu memandu sejauh 8-9 jam untuk tiba di rumah.
 
Aku bukan jenis yang suka keluar bersosial. Ya, aku introvert. Aku bergaul dengan mereka yang benar-benar rapat. Bukan tidak peramah, cuma aku lebih selesa bersendirian dan menghabiskan masa dengan ahli keluarga. Mujur ada kakak aku yang tinggal di Negeri Sembilan, bolehlah aku balik ke rumahnya dan habiskan masa di sana.
 
Esok aku akan berkursus. 3 hari. Jauh dari hiruk-pikuk kerja. Ok, bye.

Monday, May 27, 2013

rezeki

Alhamdulillah, aku panjatkan syukur menerima rezeki yang tidak terjangka. Keputusan yang aku buat setahun lepas rupa-rupanya ada hikmah disebaliknya. Walaupun berhempas pulas, mengeluarkan wang ringgit, meluang masa dan tenaga, tanpa disangka-sangka ada rezeki yang Allah aturkan untuk aku. Walaupun tanpa diminta, syukur sangat-sangat. Semoga menjadi pemangkin untuk aku terus berusaha lebih gigih. Walaupun terasa sedikit tekanan kerana terpaksa mengekalkan sebaik mungkin, tapi aku akan usaha bersungguh-sungguh, kerana aku yang memilih jalan ini. Semoga tindakan aku diberkati Allah, semoga dicelikkan akal, dimudahkan pemahaman, dan dilancarkan segala urusan berkaitannya. Semoga sentiasa berada dalam lindungan-Nya, insyaAllah.

Thursday, May 23, 2013

J O D O H

Jodoh.
Ia bukan perkara mudah. Ada orang kenal sekejap, terus kahwin. Ada orang kenal bertahun-tahun, baru kahwin. Ada orang kenal pandang pertama, terus kahwin. Ada orang kawan berpuluh tahun, akhirnya tiada jodoh. Ia tidak semudah disangka.

Meniti usia akhir 20-an membuatkan isu jodoh menjadi-jadi. Tidak 'laku' kah? Tiada orang berminat kah? Memilih sangat kot. Bila lagi? Ish...

Ia bukan urusan semudah meng'order' makanan. 'Order' terus dapat. Kalaulah semudah itu. Yang di 'order' belum tentu sedap, entah-entah indah khabar dari rupa. Luar nampak elok,dalaman belum pasti.

Ada orang diam-diam ubi, tiba-tiba kahwin. Bila masa bercinta?

Ada orang bercinta bagai nak 'rak' akhirnya putus juga. Bercinta 'expose' sehabis mungkin, akhirnya berkahwin dengan orang lain. Ia di luar kemampuan jangkaan.

Bila usia makin berusia, bila pendidikan makin tinggi, bila kerjaya makin kukuh, maka satu penanda aras diletakkan- ciri-ciri jodoh idaman. Selagi belum jumpa seperti yang disenaraikan, maka belum ada jodoh. Macam-macam.

Jodoh.
Kadang-kadang kita rasa kita telah bertemu, tetapi milik orang. Tiada jodoh.

Jodoh,
Bila kita bertemu, hati tidak pasti sama ada benarkah itu jodoh kita. Keliru.

Jodoh. Ia terlalu subjektif. Panjatkan doa. Lambat atau cepat. Semuanya urusan-Nya.